welcome

Sunday 11 December 2011

Kenali Adat Perpatih

ASAL USUL ADAT PERPATIH

Menurut sejarahnya, Adat Perpatih berasal dari Pagar Ruyung Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Di namakan Adat Perpatih sempena nama orang yang menyusun dan membuat peraturan adat tersebut. Adat Perpatih di bawa ke Negeri Sembilan oleh orang-orang Minangkabau yang merantau ke Tanah Melayu.

Menurut ceritanya, beratus tahun dahulu di Negeri Padang Luas, Pagar Ruyung Minangkabau ada dua orang adik beradik yang seibu tetapi berlainan bapa. Yang tua bernama Temenggong atau Datok Temenggong dan adiknya bernama Perpatih atau Datok Perpatih. Apabila keduanya sudah dewasa maka mereka pun merwarisi pemerintahan negeri Padang Luas.

Walaupun mereka adik beradik tetapi berbeza pendapat terutama dalam cara pemerintahan. Kerana perbezaan pendapat itu menyebabkan selalu terjadi perbalahan antara Datok Temenggong dengan adiknya Datok Perpatih. Untuk mengelak terjadinya pergaduhan maka negeri Padang Luas terpaksa di bahagi kepada dua pemerintahan. Datok Temengong memerintah di bahagian pesisir pantai manakala Datok Perpatih berkuasa di bahagian daratan. Dengan itu kawasan pemerintahan Datok Temenggong memakai adat yang disusun oleh Datok Temenggong (Adat Temenggong) manakala kawasan Datok Perpatih memakai adat yang di susun oleh Datok Perpatih ( Adat Perpatih.)

Antara Adat Temenggong dengan Adat Perpatih terdapat perbezaan terutama dalam soal pembahagian harta pusaka. Bagi Adat Temenggong, lelaki lebih banyak mendapat bahagia harta pusaka daripada perempuan manakala Adat Perpatih pula menyerahkan segala harta pusaka kepada anak perempuan.

Pada suatu hari anjing Datok Perpatih telah menggigit kaki Datok Temenggong. Akibatnya anjing itu telah dipukul oleh Datuk Temenggong sehingga mati. Ini menimbulkan kemarahan Datok Perpatih. Dia segera berjumpa Datok Temenggong.

"Bukankah peraturan dalam adat temenggong mengatakan , siapa menggigit dia kena gigit?" tanya Datok Perpatih kepada Datok Temenggong. Dia sebenarnya merujuk kepada adat Temenggong yang mengatakan sesiapa yang menggigit mesti dibalas dengan gigit juga.

"Memang benar!" jawab Datok Temenggong.

" Kenapa bila anjing menggigit kaki awak pukul sampai mati?. Sepatutnya bila anjing itu menggigit kaki awak maka awak gigit pula kaki anjing itu," balas Datok Perpatih.

Mendengar kata-kata itu, Datok Temenggong merasa marah lalu berlakulah cabar mencabar antara kedua-duanya. Untuk mengelakkan sengketa itu berpanjangan maka keduanya bersetuju meninggalkan negeri Padang Luas untuk membuka negeri baru.

Maka Datok Perpatih dan Datok Temenggong pun menyediakan bahtera masing-masing untuk belayar meninggalkan negeri Padang Luas. Konon ceritanya, bahtera Datok Temenggong selamat dilancarkan ke laut dan terus belayar. Manakala bahtera Datok Perpatih tidak mahu dilancarkan ke laut. Walupun rakyat jelata di suruh beramai-ramai menolak bahtera itu namun tidak juga dapat bergerak.

Pada malamnya Datok Perpatih bermimpi bahtera yang bernama "Geliong Panjang " itu tidak dapat dilancarkan kerana telah diduduki oleh "Jin Sakti Muno". Untuk melancarkannya maka terpaksalah digalangkan di bawah bahtera itu seorang perempuan yang mengandung sulung (bunting sulung).

Maka pada keesokan harinya Datuk Perpatih menyuruh orang-orangnya mencari perempuan yang bunting sulung. Setelah puas mencari diserata negeri Padang Luas itu maka akhirnya didapati hanya ada dua orang sahaja yang sedang bunting sulung iaitu anak Datok Perpatih sendiri dan anak saudaranya yaang bernama Puteri Seri Banun. Adapun Puteri Seri Banun seorang yang baik hati dan sanggup berkorban dengan menawarkan dirinya menjadi penggalang kepada bahtera bapa saudaranya.

Mengikut cerita selanjutnya, Puteri Seri Banun yang sedang bunting sulung itu pun di baringkan di bawah bahtera itu sebagai penggalangnya. Kemudian orang ramai menolak bahtera itu ke air. Tetapi dengan takdir Tuhan, ketika bahtera itu ditolak oleh orang ramai maka satu keajaipan berlaku dimana bahtera itu terangkat sendiri lalu masuk ke dalam laut. Ada yang percaya Jin Sakti Muno yang mengangkat dan menolak bahtera itu ke laut kerana syarat telah dipenuhi.. Dengan ini terselamatlah Puteri Seri Banun dari menjadi korban bahtera tersebut. Dan sebaik sahaja bahtera itu berjaya dilancarkan maka Seri banun pun melahirkan seorang anak lelaki lalu di beri nama Batin menggalang.

Setelah lama belayar akhirnya Datok Perpatih sampai ke Negeri Sembilan lalu mereka pun mencari kawasan yang sesuai untuk membuka negeri. Setelah perkampungan baru berjaya diwujudkan maka Datok Perpatih telah menyusun semula adat perpatih untuk disesuaikan dengan keadaan setempat. Antara peraturan baru yang diguna pakai oleh Adat Perpatih ialah segala harta pesaka hendaklah diserahkan kepada anak perempuan. Ini sebagai mengenang jasa Seri Banun yang sanggup menjadi penggalang bahtera Datok Perpatih.
berkorban untuk bapa saudaranya Datok Perpatih.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku-suku atau keluarga.
Suku-suku tersebut seperti berikut:
 
  1. Suku Biduanda (dondo)
  2. Batu Hampar (Tompar)
  3. Paya Kumbuh (Payo Kumboh)
  4. Mungkal
  5. Tiga Nenek
  6. Seri Melenggang (Somolenggang)
  7. Seri Lemak (Solomak)
  8. Batu Belang
  9. Tanah Datar
  10. Anak Acheh
  11. Anak Melaka
  12. Tiga Batu

Ini dinyatakan dalam sebuah gurindam yang berbunyi:
Raja beralam
Penghulu berluak
Lembaga berlingkungan
Buapak beranak buah
Anak buah duduk bersuku-suku
Berapa sukunya?
Dua Belas!


*sumber dari Persatuan Sejarah Jelebu

Jom Ke Jolobu....

Menurut Majlis Daerah Jelebu, terdapat 3 jalan utama untuk masuk ke Jelebu
  • Seremban - Kuala Klawang 
  • Jempol - Simpang Pertang
  • Genting Peras – Titi 



Seremban - Kuala Klawang
Melalui jalan yang dikenali sebagai Bukit Tangga sekiranya dari Bandar Seremban dan akan melalui perkampungan Melayu tradisional di kiri kanan jalan sepanjang laluan ke pekan Kuala Klawang. Terdapat satu kawasan air terjun yang dikenali sebagai Air Terjun Jeram Toi.

Jempol - Simpang Pertang
Sekiranya dari daerah Jempol, pengunjung boleh menggunakan jalan Simpang Pertang ke kawasan pekan Kuala Klawang dan melalui jalan Bukit Petasih yang mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan.



Genting Peras – Titi
Satu lagi jalan alternatif yang digunakan sekiranya pengunjung datang dari Kuala Lumpur. Perjalanan yang mengambil masa 1 jam 30 minit untuk ke Pekan Kuala Klawang akan menyaksikan pemandangan yang menarik dengan kehijauan bukit bukau.


*Tahukah anda, hanya daerah Jelebu sahaja dalam Negeri Sembilan yang mempunyai pusat bandarnya sendiri iaitu Kuala Klawang.....

 

Thursday 1 December 2011

Tempat Menarik Di Jelebu


    Salam sejahtera. Hari ini saya akan memaparkan beberapa tempat yang menarik di daerah Jelebu untuk perkelahan. Sekiranya anda melalui Jalan Bukit Tangga, anda akan disajikan dengan pemandangan air terjun semulajadi yang popular di daerah ini iaitu Jeram Toi. Perjalanan ke Jeram Toi melalui Bukit Tangga hanya mengambil masa lebih kurang 45minit perjalanan dari bandar Seremban. Dengan kedinginan airnya, anda akan berasa amat seronok untuk kembali ke tempat perkelahan ini.

    Bagi pengunjung yang berminat untuk mendapatkan udara segar dari hutan, anda boleh mengunjungi satu lagi air terjun di daerah ini iaitu Jeram Gading. Walaupun kawasan perkelahan ini terletak agak jauh ( di Hutan Kenaboi ), namun setiap hujung minggu pasti ramai pengunjung yang akan hadir. Perjalanan ke kawasan ini hanya lebih kurang 15 minit dari bandar Kuala Klawang.
    Terdapat satu lagi kawasan perkelahan di daerah ini iaitu Lata Kijang. Tempat yang kaya dengan flora dan fauna ini amat sesuai bagi pengunjung yang menginginkan pengalaman indah bersama flora dan fauna di Jelebu. terletak di dalam kawasan hutan yang masih lagi dipelihara keindahannya, Lata Kijang menjanjikan seribu kepuasan kepada pengunjungnya.
     Selain itu, bagi pengunjung yang ingin merasai kehidupan tradisi orang Jelebu, bolehlah memilih samaada ingin bermalam di Hotel Sri Klawang ataupun  menetap di Homestay Klawang.

Wednesday 30 November 2011

Kata Kerja

Salam sejahtera semua. Setelah beberapa hari tidak menghantar input berkaitan tatabahasa, pada hari ini saya ingin berkongsi berkaitan Kata Kerja.
Kata Kerja terbahagi kepada 2 jenis utama iaitu :
  1. Kata Kerja Transitif
  2. Kata Kerja Tak Transitif

Kata Kerja Transitif
1.Perbuatan dilakukan ke atas benda lain
2.Memerlukan penyambut/benda
Contohnya:
  • Ayam itu mematuk gandum.
  • Katak itu ditelan oleh ular.

Kata Kerja Tak Transitif
1.Dilakukan ke atas diri sendiri
2.Tidak memerlukan penyambut
Contohnya :
  • Kumari tersenyum sendirian di ruang tamu.
  • Adik tidur lena di dalam buainya.

Wednesday 23 November 2011

Kata Ganti Nama

Salam sejahtera kepada pengunjung blog ini. Hari ini, saya akan jelaskan pula berkaitan Kata Ganti Nama yang seterusnya. Kata Ganti Nama ini terbahagi kepada 2 jenis sahaja iaitu
a. Kata Ganti Nama Tunjuk
b. Kata Ganti Nama Tak Tentu

a. Kata Ganti Nama Tunjuk
  • Terdapat 5 jenis iaitu itu, ini, sini, situ, sana
Itu - Untuk menunjukkan sesuatu yang jauh
Ini - Untuk menunjukkan sesuatu yang dekat sahaja
Sini - Untuk menunjukkan sesuatu tempat yang dekat
Situ - Untuk menunjukkan sesuatu tempat yang tidak begitu jauh
Sana - Untuk menunjukkan tempat yang jauh

b. Kata Ganti Nama Tak Tentu
  • Terdapat 4 jenis iaitu apa-apa, sesiapa/siapa-siapa, bila-bila, mana-mana
apa-apa - menggantikan benda atau hal yang tidak khusus
sesiapa/siapa-siapa - menggantikan manusia yang tidak khusus
bila-bila - menggantikan masa yang tidak khusus
mana-mana - menggantikan nama benda atau tempat yang tidak khusus

Tuesday 22 November 2011

Kata Ganti Nama Diri Singkat

Setelah semalam saya jelaskan berkaiatan Kata Ganti Nama Diri, hari ini saya akan jelaskan satu lagi Kata ganti Nama iaitu Kata Ganti Nama Diri Singkat.
Terbahagi kepada 3 jenis yang utama iaitu :
i. ku
ii. kau
iii. mu

i. Ku

  1. Singkatan dari Kata Ganti Nama Diri Pertama iaitu aku --->ku
  2. Digunakan di awal dan juga di akhir kata
  3. Contohnya:
  • Bunga itu kusiram setiap hari.
  • Lelaki itu bukan ayahku

ii. kau
  1. Singkatan dari Kata Ganti Nama Diri Kedua iaitu engkau --->kau
  2. Digunakan di awal kata sahaja
  3. Contohnya
  • Kauberikan buku ini kepada Ahmad

iii. mu
  1. Singkatan dari Kata Ganti Nama Diri Kedua iaitu kamu --->mu
  2. Digunakan di akhir kata sahaja
  3. Contohnya
  • Rupamu seiras penyanyi popular itu.

*Harus diingat, apabila menggunakan Kata Ganti Nama Diri Singkat, ianya ditulis bersama dengan kata tersebut bukannya berasingan.
*Selain dari ketiga-tiga Kata Ganti Nama Diri di atas, Kata Ganti Nama Diri yang lain TIADA singkatan.

Monday 21 November 2011

Kata Ganti Nama Diri

Terbahagi Kepada 3 jenis iaitu :
i. Kata Ganti Nama Diri Pertama
ii. Kata Ganti Nama Diri Kedua
iii. Kata Ganti Nama Diri Ketiga

i. Kata Ganti Nama Diri Pertama
  • dituturkan oleh yang bertutur
  • terdapat 2 bentuk iaitu bentuk tunggal & bentuk jamak 
  • Contoh bentuk tunggal - aku, saya, beta, hamba, patik 
  • Contoh kata jamak - kita, kami 


ii. Kata Ganti Nama Diri Kedua
  • dituturkan oleh orang yang diajak bertutur
  • terdapat 2 bentuk iaitu bentuk tunggal & bentuk jamak
  • Contoh bentuk tunggal - anda, awak, kamu, engkau, tuanku
  • Contoh bentuk jamak - kalian, kamu

iii. Kata Ganti Nama Diri Ketiga

  • berkaitan orang yang diceritakan ( pihak ketiga )
  • terdapat 2 bentuk iaitu bentuk tunggal & bentuk jamak
  • Contoh bentuk tunggal - baginda, beliau, dia, -nya, ia
  • Contoh bentuk jamak - mereka